Tentang Fitrah

Aku diajar tentang Fitrah
Tentang naluri teras ciptaan
Yang terukur teratur indah
Jadi batu asas sang Insan

Mereka diajar tentang Fitrah
Kalau lelaki begini jadinya
Kalau perempuan begitu pula
Semuanya lazim mengikut lumrah

Kita diajar tentang Fitrah
Seolah insan wataknya mudah -

Kalau lelaki: ketua keluarga
Kalau perempuan: dapur tempatnya
Kalau lelaki: jadi pemimpin
Kalau wanita: menyalin lampin
Tugas lelaki: mentadbir buana
Tugas wanita: menggoncang dunia
(Nun jauh rantai asbabnya
Kononnya buaian mencerna kuasa)

Ini ajarku perihal Fitrah:
Setiap insan pelbagai lumrah
Maksud Adil penuh ma’rifat
Setiap sesuatu terletak tepat

Kalau Rafidah: jadilah Menteri
Jangan disorok tepi perigi
Kalau Zeti: jadilah Gubenur
Pasti iktisad cantik teratur
Kalau Jemilah: jadilah Doktor
Harum nama negara masyhur

Ini hakikat ertinya Fitrah:
Setiap insan dicipta Allah
Lengkap kamil dengan cirinya
Setiap seorang tiada sama

Tanda hormat sesama insan:
Mengukur kain pada sang badan
Tinggi budi tinggilah maqam
Itulah janji Allah Yang Akram!