Tentang Pengistilahan Siarpod, Siar Lenggai dan Siarsawang

Dalam episod podcast Keluar Sekejap yang paling mutakhir, KJ dan Shahril ada membincangkan tentang istilah “podcast”, di mana istilah sasar yang telah dikemukakan oleh DBP adalah “siarpod“. Dalam episod yang sama, KJ juga telah mengemukakan satu terjemahan harfiah iaitu “siar lenggai”, berdasarkan kepada istilah “lenggai” iaitu satu terjemahan harfiah kepada perkataan “pod” yang merujuk kepada ruang kandungan bagi sesuatu kekacang.

Pada hemah saya, penggunaan perkataan “pod” mahupun “lenggai” keduanya berbunyi agak janggal, mahupun dari segi bunyi dan sebutannya, mahupun dari segi maknanya. Apabila merujuk kembali kepada asalusul perkataan “podcast” itu dalam bahasa Inggeris, kita akan mendapati bahawa perkataan tersebut adalah suatu “portmanteau” atau perkataan gabungan bagi dua perkataan iaitu “iPod” dan “broadcast”. Nah, ternyata penggunaan perkataan ini memang mudah laris dalam bahasa Inggeris, memandangkan bahawa bunyinya itu senada dengan perkataan asal “broadcast” yang menjadi kata fungsi yang pokok, manakala “iPod” pula khususnya merujuk kepada peranti elektronik yang menjadi salah satu wadah utama yang telah melariskan pengunaan dan penyebaran media audio melalui capaian Internet.

Kalau begitulah akarnya perkataan “podcast” itu, maka cadangan saya adalah pengistilahan “podcast” dalam bahasa Melayu tidaklah perlu terlalu harfiah dalam merujuk kepada peranti iPod itu, tetapi memadai untuk merujuk kepada hakikat penggunaan dan penyebaran media yang kini pesat melalui proses penstriman data secara mudahalih malalui capaian Internet.

Hatta, saya mencadangkan penggunaan istilah “siarsawang” sebagai merujuk kepada istilah “podcast” dalam bahasa Melayu. Umum mengetahui bahawa istilah “website” kini sering diterjemahkan kepada “laman web” atau “laman sesawang”, yang mana istilah “sesawang” itu merujuk kepada hakikat bahawa maklumat disalurkan melalui gelombang radio yang beralun melalui langit lepas, atau “through the air”.

Istilah “siarsawang” ini, bagi saya, menepati dua ujian yang saya sebut sebentar tadi. Yang pertama, bunyinya sedap didengar dan disebut, memandangkan gabungan perkataan “siar” dan “sawang” membawa kesan asonansi yang “alliterative” atau mengandungi pengulangan perkataan pangkal yang manis didengar dan mudah diingati. Yang kedua, makna istilah tersebut juga cukup jelas, iaitu merujuk kepada hakikat penggunaan dan penyebaran media yang sedemikian.

Wallahua’lam bissawab.