Tentang Siapa Aku

Kau tak kenal aku siapa?
Akulah Datuk si Fulan bin si Fulan 
Dahulu aku Pegawai Khas Datuk Sri Fulan
Perdana Menteri al-Adl wal-Ihsan

Takkan tak kenal aku siapa?
Akulah pengasas Syarikat Al-Fulan
Melabur uang juta-jutaan
Satu KL kagum dan segan
Akulah taikun duit berkoyan 

Kau belum tahu aku siapa?
Bini aku artis kenamaan
Paras terlawa, jadi bualan
Hensem dan cantik, memang sepadan
Di Insta dan TikTok jadi pujaan

Semua kenal aku siapa!
Esok mengopi dengan Datuk Fulan
Lusa bergolof dengan Tan Sri Fulan
Inilah aku Datuk kenamaan
Hidup teratas arash kayangan!