Tentang Kewargaan

Pertama kali saya benar-benar menguliti istilah “warga” adalah pada tahun 2009, apabila mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (yang lebih mesra digelar “Pak Lah”), sedang menyiapkan ucapan besar yang terakhir buat beliau, iaitu ucapan terakhir beliau di Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Mac tahun tersebut. Sebuah jawatankuasa kecil telah disusun untuk membantu dalam proses penggubalan deraf ucapan tersebut, yang mana saya merupakan salah seorang pegawai kepada Pak Lah pada ketika itu, dan menjadi salah seorang ahli muda dalam jawatankuasa tersebut. Pena utama dalam jawatankuasa tersebut dipegang oleh Datuk Seri Annuar Zaini, mantan Pengerusi Bernama yang juga merupakan salah seorang penasihat yang dipercayai oleh Pak Lah. Dalam deraf ucapan pertama yang dirangka oleh Datuk Seri Annuar Zaini, beliau menekankan kepada konsep “warga” sebagai suatu teras dan tonggak utama yang mendasari retorika deraf ucapan tersebut.

Maka setiap kali saya bersemuka dengan perkataan “warga” ini, saya senantiasa teringat akan proses penggubalan ucapan tersebut, yang sememangnya sarat dengan melankolia dan juga kesyukuran. Hakikatnya, pada waktu Perhimpunan Agung itu, telah jelas bahawa UMNO telah hilang kepercayaan kepada Pak Lah, dan Timbalan beliau pada ketika itu iaitu Dato’ Sri Najib Tun Razak telahpun ditunjuk sebagai “heir apparent” untuk jawatan Presiden dan Perdana Menteri. Pak Lah pada ketika itu sememangnya dirundung kesedihan, khususnya dengan pencapaian UMNO dan Barisan Nasional yang begitu mengecewakan dalam pilihanraya umum yang berlangsung pada bulan Mac 2008.

Warga. Istilah ini jarang sekali kita ketemui, melainkan dalam konteks perkataan “warganegara” yang tertera pada setiap kad pengenalan seseorang rakyat Malaysia. Dan istilah “warga” ini, pada hemat saya, adalah suatu istilah yang terpinggir, yang sepatutnya lebih menonjol dalam perbahasan dan perbincangan politik dan budaya nasional, tetapi amat kurang mendapat perhatian.

Istilah yang lebih popular, iaitu “rakyat”, adalah suatu istilah yang bersifat “leper”, yang sekadar menerangkan: ya, inilah orang-orang yang menjadi populasi dalam sesebuah negara. Deskriptif semata-mata. Memanglah perkataan “rakyat” itu ada kaitan yang menghunus – yang membandingkan “rakyat” dibawah “raja
”, yang meletakkan “rakyat” sebagai kuasa dan pemegang daulat dalam sesebuah demokrasi.

Tetapi bandingkan pula dengan istilah “warga”, yang mengimbau hakikat hak-hak dan jaminan buat seseorang yang telah termaktub dalam perlembagaan sesebuah negara. Jika dibandingkan dengan istilah “rakyat”, maka perkataan “warga” itu pada saya lebih “bujur” sifatnya: seseorang warga itu diiktiraf sebagai seseorang yang mempunyai hak di bawah perlembagaan negara, sebagai seseorang yang mendapat pelbagai jaminan hasil dari kewargaannya – keselamatan diri, kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan, perlindungan daripada perbuatan jenayah dan sebagainya. Seseorang warga itu juga adalah seorang yang hakikatnya berpunya kepada dan dipunyai oleh sesebuah negara: kewargaan adalah sifat seseorang yang bernaung kepada negara tanah tumpah darahnya, dan menaungi kedaulatan dan ketunjangan demokrasi dalam negara tersebut.

Bagi saya perkataan warga ini tepat sungguh dengan falsafah politik Pak Lah yang sarat dengan kerahmanan dan kerahiman: rahimnya seseorang pemimpin Melayu kepada masyarakat dan parti pimpinannya tidak boleh sesekali memadamkan kerahmanan yang perlu bagi menaungi dan memimpin seluruh negarabangsa Malaysia yang majmuk. Warga itu merujuk kepada hak-hak dan jaminan yang senantiasa absah, selagi wujud negara dan masyarakat Malaysia di bumi tempat kita berdiri ini.

Kesinambungan Malaysia sebagai sebuah negarabangsa hanya boleh wujud sekiranya kita mengambil insaf akan istilah warga ini, dan menyulami sepenuhnya falsafah kewargaan dalam politik dan budaya negara kita. Kita semua sebagai warga Malaysia telah mengambil ikrar taat setia kepada Raja dan Negara, dan ikrar ini seharusnya senantiasa diulangtegas dalam kehidupan seharian kita. Jangan terlalu taksub dengan kepompong bangsa dan agama kita masing-masing, sehingga kita lupa bahawa hakikat kewargaan Malaysia adalah asas serta benteng kewujudan dan kemajuan negara yang kita kongsi dan bina bersama.